HULU
SELANGOR: Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO malam ini mengorak
langkah memulakan siri Ceramah Rakyat bagi menjelaskan kepada masyarakat
mengenai isu-isu semasa termasuk yang dibangkitkan pembangkang.
Sesi
pertama yang berlangsung di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di sini
menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah
Komunikasi BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar turun padang.
Turut berbuat demikian Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.K. Devamany.
Antara
perkara yang disentuh Abdul Rahman ialah sabotaj ekonomi yang cuba
dilakukan pihak tertentu termasuk dengan melempar tuduhan terhadap
syarikat berkaitan kerajaan, selain usaha menjatuhkan kerajaan.
"Saya
mahu ingatkan pembangkang jangan sabotaj ekonomi negara kerana akhirnya
ia akan merugikan rakyat," katanya pada Ceramah Rakyat bertema
'Negaraku, Generasiku' itu.
Abdul
Rahman menegaskan tindakan perlu diambil terhadap pihak yang cuba
mensabotaj ekonomi negara yang menurutnya boleh memudaratkan negara dan
rakyat.
Noh
pula memperkatakan tentang kegagalan tadbir urus negeri Selangor
termasuk dari segi penyelenggaraan prasarana rumah kos rendah,
pengurusan sampah, bekalan air dan wabak denggi.
Beliau
menarik perhatian bahawa BN banyak membantu negeri Selangor sekarang
walaupun ia bukan di bawah teraju BN, demi membantu rakyat negeri itu.
Perkara
sama turut diperjelas Mah dan Devamany yang antara lain meminta rakyat
supaya jangan mudah terpedaya dengan putarbelit pembangkang termasuk
mengenai ekonomi.
Sesi ceramah itu akan diperluas ke negeri-negeri lain.